MAKANAN TRADISIONAL SABAH POPULAR YANG PATUT DICUBA
Apabila pergi tempat orang tak sah kalau tak cuba makanan-makanan tempatan kerana tidak lengkap rasanya melancong kalau tidak mencuba makanan tempatan. Sabah mempunyai pelbagai kaum pastinya mempunyai pelbagai jenis makanan tradisional yang tidak ada di tempat kamu. Pasti ada dikalangan kamu terutamanya para food hunters tertanya-tanya apa makanan unik yang terdapat di Sabah. Di sini kami ingin kongsikan beberapa makanan unik yang anda wajib cuba apabila berkunjung di Sabah.
1.Tuhau
Tuhau adalah sejenis tumbuhan liar yang banyak tumbuh di Kepulauan Borneo. Ia merupakan makanan tradisional kaum Kadazandusun yang terkenal di Sabah. Tuhau biasanya dibuat kerabu, jeruk, sambal, serunding dan sebagainya. Makanan ini memiliki rasa yang unik dan sedap. Ia sesuai dimakan mentah atau bersama nasi panas. Kepada para food hunters bolehlah cuba makan makanan ini apabila berkunjung ke Sabah kerana keunikan rasanya pasti akan membuka selera makan kamu.
2. Latok
Latok merupakan sejenis rumpai laut dan merupakan makanan tradisional bagi kaum Bajau. Latok juga dikenali sebagai anggur laut kerana menyerupai anggur. Teksturnya ranggup seperti makan telur ikan. Latok biasanya dimakan mentah bersama perahan limau kasturi dan cili atau dibuat ulaman. Kamu hendaklah memerah limau pada latok untuk menghilangkan rasa hanyir pada latok. Rasanya yang rangup pasti akan menjadi kegemaran setiap lidah yang merasainya.
3. Bosou
Bosou ialah sejenis makanan yang dijeruk bersama nasi dan bahan-bahan lain. Bosou merupakan makanan tradisi bagi kaum kadazan-dusun. Terdapat beberapa jenis bosou seperti bosou ikan, bosou sayur, bosou udang dan sebagainya. Setelah diperap selama beberapa hari bersama bahan-bahan lain, bosou sudah sedia untuk dimakan. Bosou sangat sedap dimakan bersama nasi panas. Nasi di pinggan kamu pasti akan bertambah-tambah ketika menikmati hidangan ini.
4. Ambuyat
Ambuyat merupakan sejenis makanan yang dihasilkan daripada tepung sagu. Ia merupakan makanan tradisional bagi masyarakat Brunei dan Bisaya. Ambuyat dimakan bersama bersama lauk-lauk sampingan seperti ikan dan sayur-sayuran. Ambuyat sedap dimakan ketika masih panas kerana tekturnya masih lembut ketika panas. Apabila ambuyat sudah sejuk teksturnya akan menjadi lebih likat dan keras. Makanan ini rasanya tawar, oleh itu kesedapan makanan ini bergantung kepada kesedapan lauk pauknya dan tekstur ambuyatnya. Jika lauk pauk nya sedap, kamu pasti akan ketagih makan makanan ini.
5. Burasak
Burasak atau buras merupakan makanan tradisional bagi kaum Bugis yang terdapat di Sabah. Burasak diperbuat daripada beras, santan yang dibalut dalam daun pisang dan dimakan bersama lauk-pauk. Burasak biasanya dihidangkan semasa musim perayaan oleh masyarakat Bugis. Hidangan ini boleh didapati di kedai-kedai makan yang menghidangkan makanan Bugis di mana-mana. Rasanya berlemak pasti membuatkan kamu ketagih untuk memakannya.
Baca juga:MAKANAN TRADISIONAL MALAYSIA POPULAR YANG PATUT DICUBA
6. Hinava
Hinava merupakan makanan tradisional bagi masyarakat Kadazandusun. Hinava juga dipanggil salad ikan mentah kerana dihasilkan daripada campuran ikan mentah, cili, limau, halia dan sebagainya. Hidangan ini merupakan lauk pembuka selera bagi kaum Kadazandusun. Rasanya yang pedas dan masam pasti mampu membangkitkan selera setiap lidah yang merasainya.
7. Putu
Putu merupakan sejenis makanan yang dihasilkan daripada isi ubi kayu yang diperah airnya dan dikukus. Makanan ini merupakan makanan tradisional bagi kaum Bajau di Semporna. Makanan ini lazimnya dimakan bersama ikan bakar dan makanan laut yang lain. Makanan ini kebiasannya menjadi bekalan kepada nelayan sebelum turun ke laut kerana ia mengenyangkan dan tahan lama. Tekturnya sedikit kenyal dan rasanya berlemak dapat membangkitkan selera orang yang putus selera makan. Jadi kepada sesiapa yang ada gastrik tu bolehla membawa putu sebagai bekalan.
8. Lemiding
Lemiding adalah sejenis paku pakis hutan yang terdapat di kepulauan Borneo. Biasanya orang Sabah selalu masak lemiding tumis atau goreng belacan. Lemiding sangat senang di cari di Sabah kerana banyak restoran ada menjual sayur ini. Rasanya sangat sedap, menyegarkan dan unik. Sekali kamu cuba pasti kamu nak lagi sebab rasa sayur ini tidak sama dengan sayuran yang lain.
9. Bambangan
Bambangan adalah sejenis mangga liar yang hanya terdapat di kepulauan Borneo. Sebuah kajian dijalankan oleh universiti tempatan dan menemui bahawa bambangan mampu membunuh sel kanser. Rasa buah ini sangat unik, masam dan manis. Masyarakat Sabah biasanya membuat sambal atau jeruk daripada bambangan. Rasanya yang masam manis itu pasti dapat membangkitkan selera kamu.
Ulasan