BETULKAH IKAN DUYUNG WUJUD DISEKITAR KITA
Baca saja tajuk artikel ini mesti ada faktor ‘wow’. Ya, artikel ini membincangkan tentang adakah kewujudan ikan duyung ini sebenarnya simbol kepada penyakit kecacatan?
Kita mengenali ikan duyung melalui kisah-kisah lagenda dan telah meresap dalam tamadun manusia beribu-ribu tahun dulu. Ikan duyung yang kita kenal adalah makhluk aquatik gabungan manusia dan tubuh ikan dan kewujudan makhluk ini banyak dicatat dalam manuskrip-manuskrip kuno berkait dengan mitologi.
Tambahan lagi, ikan duyung mempunyai kecantikannya yang mampu memukau sesiapa yang melihat wajahnya kemudian terjerat ke perangkap air yang mustahil manusia keluar selamanya.
IKAN DUYUNG DALAM DUNIA MITOLOGI
Terlebih dahulu, kita kenali dulu asal-usul kewujudan ikan duyung dalam dunia mitologi. Ikan duyung telah dicatat sejak fasa Assyria yang berpusat di utara Syria kini. Dikatakan masyarakat Assyria memuja dewi bernama Atargatis kemudian pemujaan ini tersebar ke tamadun Yunani Kuno dan Rom.
Mengikut kisah lagenda, Atargatis menjelmakan dirinya sebagai makhluk manusia berbadan ikan dan terjun ke laut akibat penyesalan kerana terbunuh kekasihnya sendiri. Kisah lain pula menceritakan Atargatis adalah dewi kesuburan bagi dewi-dewi berbadan ikan yang menetap di Ascalon, bermaksud Atargatis adalah dewi ikan duyung.
Dari Assyria, tamadun-tamadun asing seperti Eropah, Afrika, dan Asia tertarik dengan mitos Atargatis ini kemudian memasukkan mitos itu dalam budaya mereka dengan menceritakan versi mereka sendiri. Homer, penulis Yunani Kuno yang terkenal dengan karya Iliad dan Odyssey menggelarkan ikan duyung dengan nama ‘Siren’ dan Siren ini berupaya menggoda para kelasi kemudian membunuh mereka.
Pada tahun 1493, pelayar Itali yang terkenal dengan penemuan benua Amerika atau ‘Dunia Baru’ iaitu Christopher Columbus melaporkan penampakan 3 ikan duyung berdekatan Haiti setibanya kumpulan penjelajah beliau tiba di kepulauan Caribbean. Columbus menerangkan bahawa ‘ikan duyung’ ini tidaklah secantik apa yang orang dulu bayangkan atau lukiskan, namun muka mereka mempunyai rupa seperti muka manusia.
Apabila para saintis mengkaji laporan Columbus ini, mereka mengetahui bahawa laporan ini adalah rekod pertama akan penemuan haiwan mamalia akuatik bernama manatee. Manatee adalah mamalia laut sekumpulan dengan dugong yang berhabitat di perairan Caribbean dan Florida. Kedua-dua haiwan ini termasuk dalam kumpulan order Sirenia, sempena nama Siren.
SIMDROM IKAN DUYUNG BERNAMA SIRENOMELIA
Mempercayai ikan duyung adalah manatee dan dugong tidak cukup sampai di situ saja. Bagaimana jika mitos ikan duyung ini lahir dari sejenis penyakit kecacatan?
Sirenomelia adalah nama sindrom sempena nama Siren dalam mitos Yunani Kuno. Sirenomelia juga dikenali dengan nama ‘sindrom ikan duyung’, sejenis sindrom kecacatan sejak lahir iaitu bahagian kaki bercantum semasa dalam kandungan. Ini menyebabkan bahagian bawah badan hanya satu anggota saja berbentuk seperti ekor ikan, berkemungkinan mitos ikan duyung berkait dengan sindrom ini.
Lindsey Fitzharris, pakar sejarah perubatan yang merupakan pembikin siaran TV Amerika bertajuk ‘The Curious Life and Death Of…’ dari Smithsonian Channel (macam National Geography) menjejaki sejarah perubatan berkenaan sindrom ini. Beliau menemui salinan 4 jilid atlas bertajuk Human Monstrosities yang diterbit pada 1891. Salinan ini hanya mencatatkan sindrom ini secara permukaan dan tiada sejarah perubatannya.
Kini, bayi yang mengalami sindrom ini adalah jarang, hanya sebanyak 0.8-1 kes dari 100,000 kelahiran. Bayi sindrom ikan duyung ini biasanya hidup hanya beberapa hari kerana kecacatan sistem menghadaman, urin, dan pembiakan di bahagian bawah badan yang menghalang bayi hidup lama.
Walau bagaimanapun, dengan teknologi pembedahan yang semakin canggih, terdapat beberapa kes penghidap sindrom ikan duyung yang pesakit hidup lama sehingga masuk fasa kanak-kanak.
Contoh penghidap Sirenomelia yang terkenal ialah Tiffany Yorks dari Florida, AS. Selepas pembedahan memisahkan kedua-dua kaki ketika usianya 1 tahun, wanita ini hidup sehingga 27 tahun walaupun masih mempunyai masalah untuk berjalan. Ini menjadikan Tiffany sebagai penghidap Sirenomelia yang hidup paling lama.
Seorang lagi penghidap Sirenomelia terkenal ialah Shiloh Jade Pepin. Shiloh yang lahir pada 1999 di Maine, AS menjadi terkenal apabila kehidupannya sebagai ‘Mermaid Girl’ disiar dalam dokumentari TLC. Dia lahir tanpa sistem pembiakan dan dubur, serta bahagian bawah badan bercantum dari pinggang ke kaki. Keluarga Shiloh tidak mahu anaknya melalui pembedahan memisahkan kaki kerana khuatir akan nyawanya. Pada umur 10 tahun, Shiloh telah meninggal dunia.
Milagros Cerrón, penghidap Sirenomelia dari Peru yang terkenal dengan gelaran ‘The Little Mermaid’. Foto sebelum dan selepas pembedahan.
Seorang lagi penghidap Sirenomelia di luar AS adalah kanak-kanak bernama Milagros Cerrón yang lahir di Peru. Namanya sendiri bermaksud ‘keajaiban’ kerana kondisi Milagros ini. Pada tahun 2006, pakar bedah tempatan berjaya memisahkan kedua-dua kaki Milagros dari bercantum semasa umurnya 2 tahun. Walaupun Milagros mampu berjalan namun pembedahan lanjutan perlu dilakukan untuk membetulkan buah pinggang, sistem penghadaman dan pembiakan. Namun, Milagros telah meninggal dunia pada umur 15 tahun akibat masalah buah pinggang.
Inilah kisah penghidap Sirenomelia yang berusaha hidup seketika dengan kondisi ‘ajaib’ ini. Walaupun tiada bukti perkaitan antara sindrom ini dengan mitos ikan duyung, para penghidap Sirenomelia berbangga dari bersedih melihat kaki mereka bercantum kerana mereka diumpamakan makhluk wanita yang cantik dengan bertubuh ikan!
Kalau nak tengok dokumentari tentang kehidupan Shiloh, ini pautannya:TENTANG KEHIDUPAN SHILOH
RUJUKAN:
Gillan, J. (27 Mac 2021). Are Mermaid Myths Inspired by a Rare Medical Condition? Ancient Origins.
Ulasan