PIRAMID TASIK CHINI YANG MENJADI SISA KEAGUNGAN MELAYU SILAM


Cari Tasik Chini dalam carian internet, akan ada dua sebab. Sama ada kerana kisah legenda naga Tasik Chini atau statusnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO akan ditarik balik berikutan kemusnahan alam akibat pembalakan dan perlombongan. Tatkala proses pemulihan tasik sedang berjalan mengikut kenyataan kerajaan Pahang, apakah ini bermakna sebarang usaha mengkaji piramid yang didakwa wujud di situ juga berakhir?

Pastinya ada gelak dan menyatakan ini merupakan sesuatu yang mengarut. Karut tahap Ancient Aliens. Kalau betullah ini mengarut, apa kejadahnya akhbar The New Straits Times laporkan cerita ini kira-kira 15 tahun yang lalu? Bak kata pepatah, kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Cerita ini dikatakan diketahui oleh orang asli Jakun yang menghuni kawasan sekitar Tasik Chini sejak tahun 80-an lagi.

Mereka percaya pembina tujuh buah piramid yang didakwa wujud di situ ialah Empayar Khmer. Walaupun dakwaan ini masih belum dapat dibuktikan secara sahih, terdapat kisah yang menunjukkan empayar tersebut pernah sampai ke bumi Tanah Melayu. Kisahnya, kerajaan ini menjadikan Tanah Melayu sebagai tapak membina semula kekuatan selepas gagal menakluk kerajaan Mon Hariphunchai yang berada di utara Thailand pada abad ke-11.


Tidak mustahil perkara ini berlaku dan ia turut diketahui oleh empayar agung Melayu ketika itu, Empayar Srivijaya. Empayar Khmer pastinya mengetahui sejarah raja-raja Khmer termasuk perihal seorang raja yang mahukan kepala maharaja Srivijaya abad kelapan Masihi, Sangramadhananjaya diletakkan dalam dulang. Sebagai tindak balas, 1,000 buah kapal perang Srivijaya mudik ke Sungai Mekong agar sampai ke kota mereka, Inderapura.

Melihat kota tersebut telah dikepung, Sangramadhananjaya mengarahkan raja Khmer yang sombong itu segera menghadap baginda. Nyatalah kelancangan mulut baginda telah mencetuskan kemurkaan seorang maharaja yang lebih hebat daripada kerajaannya sendiri. Sangramadhananjaya kemudiannya memenggal raja berkenaan sebelum berangkat pulang ke Srivijaya.

Selepas beberapa lama, baginda menulis sepucuk surat kepada kerajaan Khmer di Inderapura bagi menerangkan tindak-tanduk baginda semasa di sana. Dan sebagai tanda Sangramadhananjaya tiada niat jahat terhadap mereka, kepala raja mereka yang dibunuh dipulangkan bersama surat berkenaan. Kepala tersebut telah dibasuh dan diwangikan sebelum diletakkan dalam satu bekas khas.

Sebagai tanda syukur tak terhingga terhadap kebaikan Sangramadhananjaya, mereka akan sujud syukur ke arah Srivijaya setiap pagi. Ini kerana atas tindakan baginda itu, mereka tidak lagi bimbang diperintah oleh raja yang ada potensi sebagai pemerintah yang zalim dan terburu-buru. Tindakan Sangramadhananjaya secara tidak langsung turut menaikkan prestijnya di mata kerajaan-kerajaan lain termasuk di Tanah Melayu ketika itu.

Tidak mustahil selepas beberapa abad, rasa hormat orang Khmer terhadap Srivijaya terus wujud walaupun sudah bergelar empayar. Atas sebab itu, mereka memohon izin untuk berada selama seketika di jajahan Srivijaya (termasuk Pahang) dan menunjukkan niat yang baik kepada tuan rumah mereka. Melihat mereka tidak mendatangkan ancaman kepada kepentingan Srivijaya, pihak Khmer pastinya dialu-alukan sebagai tetamu.

Selain membina semula kekuatan tentera, pihak Srivijaya pastinya membekalkan maklumat perisikan bagi membantu mereka menakluk kerajaan-kerajaan Mon lain yang terletak di utara Thailand. Tetapi hal sebegini memakan masa beberapa bulan atau tahun untuk menjayakannya.

Justeru, semasa menunggu peluang sesuai untuk meluaskan jajahan takluk mereka di sebelah utara, orang Khmer membina petempatan dan monumen hebat. Ini bersesuaian dengan status mereka sebagai pembina infrastruktur dari kuil-kuil hinggalah rangkaian jalan raya. Salah satu binaan mereka yang terhebat ialah Angkor Wat.


Tidak mustahil keupayaan orang Khmer membangunkan Angkor Wat mampu diterjemahkan dalam bentuk pembinaan piramid di Tasik Chini.

Peristiwa mereka berada di Tanah Melayu ini boleh saja berlaku semasa era Raja Suryavarman II (1113-1150) atau Raja Jayavarman VII (1181-1218). Kedua-dua raja ini sememangnya diketahui antara raja terhebat Khmer yang direkodkan dalam sejarah. Dan kedua-duanya juga merupakan pembina monumen hebat sekaligus satu petunjuk siapa yang mengarahkan pembinaan tujuh buah piramid di Tasik Chini.

Tetapi selepas kejatuhan kerajaan itu pada abad ke-15, piramid-piramid ini dikatakan terbiar dan ditelan sebagai sebahagian daripada persekitaran hutan belantara. Masa mengubah piramid-piramid ini menjadi bukit-bukau yang dipenuhi dengan kehijauan dengan dasar piramid-piramid ini berada dalam Tasik Chini itu sendiri.

Amat menarik sekiranya teori ini dikaji sedalam-dalamnya oleh pengkaji arkeologi dan sejarawan. Ini ditambah dengan penemuan artifak orang Khmer yang ditemui secara tidak sengaja pada 1994 oleh seorang kontraktor semasa membersihkan dasar Tasik Chini. Tetapi semua ini memerlukan duit dan keinginan politik kerajaan negeri. Takde semua itu, boleh lupakanlah.

Kali terakhir pengkaji arkeologi dikatakan berada di Tasik Chini untuk tujuan ekskavasi ialah pada 2007. Pada tahun tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman membuat kajian di situ selama dua minggu. Bagaimanapun, kajian tersebut terpaksa dihentikan selepas itu akibat kekurangan dana.

Kalau ada duit untuk pulihkan Tasik Chini, apa salahnya peruntukkan sikit duit untuk kerja-kerja arkeologi sebegini. Sekurang-kurangnya kalau ada penemuan, makanya nilai Tasik Chini akan terus melambung bukan saja sebagai Rizab Biosfera UNESCO tetapi untuk sejarah negara juga. Tapi kalau tengok fiil pemerintah kita, mereka lebih gila wang daripada nilai sejarah – satu kerugian buat anak-anak bangsa negara tercinta ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA TEMPAT MAKANAN PALING BEST DI LABUAN

KELEBIHAN SURAH QURAISY

KELEBIHAN SURAH AN-NAS

MAKANAN TRADISIONAL SABAH POPULAR YANG PATUT DICUBA